

Pelakon komedi Rowan Atkinson kembali dengan sebuah lagi kisah kelakar untuk tontonan seisi keluarga
Sorotan Suzan Ahmad
MASIH terbayang wajah selamba Rowan Atkinson sebagai pengawal keselamatan di London National Gallery yang disalah anggap sebagai penterjemah seni lukis ternama. Namun itu cerita lama dalam filem Bean pada 1997.Kali ini, bosan dengan cuaca kota London basah dan lembap, Bean berubah menjadi gembira apabila berjaya memenangi cabutan bertuah bercuti ke Selatan Perancis, lengkap dengan ka mera video digital.
Kembaranya bermula di restoran berkelas eksklusif Gare de Lyon. Di situ, pelayan (Jean Rochefort) membuatkan dia terpaksa makan tiram yang dia sendiri tidak pernah cuba seumur hidupnya!
Perjalanan kemudian diteruskan lagi dengan menaiki kereta api laju menuju ke kota peranginan dan perfileman Cannes. Usaha Bean menaiki kereta api mengakibatkan dia terbabit dengan beberapa insiden. Dia berjumpa seorang budak lelaki (Max Baldry), anak juri filem berbangsa Russia (Karel Roden) yang sedang menuju ke Festival Filem Cannes.
Bencananya, Bean menyebabkan budak itu akhirnya terpisah daripada ayahnya!Akibatnya, dia pula disalah anggap sebagai penculik, pengarah dan juga seorang produser filem. Dalam usahanya menyatukan budak itu dengan ayahnya semula, Bean terjebak sebagai pelakon iklan yang diarahkan pengarah berpengalaman, Carson Clay (Willem Dafoe).Di lokasi itu, dia bertemu si cantik Sabine (Emma de Caunes). Bayangkan betapa lucunya apabila rakaman video Bean menjadi sebahagian daripada filem yang ditayangkan di festival gah itu!Lima minit pertama ketika menonton ditemani wartawan Melodi, Nas Ahmad, penulis terasa bosan. Banyak aksi yang dipaparkan sudah biasa kita lihat dalam siri Mr Bean setiap minggu di kaca TV.
Lama kelamaan barulah plot ceritanya semakin menarik terutama insiden bagaimana dia menyebabkan seorang bapa dan anaknya terpisah.Penulis sendiri boleh bayangkan bagaimana perasaan ayah budak itu tatkala melihat kereta api laju melintas bersama seorang lelaki pelik yang cukup misteri (Bean). Rasa simpati Bean terhadap budak itu makin bertambah apabila cubaan Bean menghubungi bapanya bukan saja gagal kerana nombor telefon tidak jelas tetapi juga kerana dompet dan pasport Bean tertinggal di salah satu hentian kereta api. Sudah jatuh, ditimpa tangga.
Bean tiada wang, pengenalan diri dan bersama seorang budak yang ketakutan dan kelaparan. Tapi babak yang paling penulis rasa kelakar ialah ketika Bean cuba mencari wang segera dengan menjadi seniman jalanan.
Bayangkan betapa geli hati penonton melihat gelagat Bean menyanyikan lagu opera secara miming dan dibantu budak lelaki itu.
Babak lucu lain ialah sewaktu Bean mengejar tiket basnya yang terbang melayang menggunakan basikal buruk.
Lucu betul apabila Bean dengan basikal tua, memotong kumpulan pelumba basikal Le Tour de Le France. Cuma cara Bean cuba melepasi kawalan keselamatan di Cannes nampak macam mudah sangat. Apapun anak-anak anda mesti sukakan filem ini.
sumber :
No comments:
Post a Comment