Wednesday, March 14

MUKHSIN

Pengarah: Yasmin Ahmad
Penerbit: Grand Brilliance Sdn. Bhd.
Lakon layar: Yasmin Ahmad
Pelakon: Sharifah Aryana (Orked), Mohd Syafie Naswip (Mukhsin), Sharifah Aleeya (Mak Inom), Irwan Iskandar Abidin (Pak Atan), Adibah Noor (Kak Yam), Rozie Rashid (Rozie), Mislina Mustaffa (Kak Senah), Salehuddin Abu Bakar (Hussin) dan lain-lain.
Sebelum filem ini ditayangkan di panggung, Mukhsin telah pun meraih dua anugerah di Festival Filem Antarabangsa Berlin untuk kategori filem generasi baru dan juga anugerah khas juri bagi filem kanak-kanak. Malahan selepas kejayaan tersebut filem Mukhsin ditawarkan untuk menyertai beberapa festival filem antarabangsa yang lain seperti di San Francisco, Tokyo dan Pusan. Nampaknya kejayaan awal sudah pun dimiliki oleh filem Mukhsin dan ianya sudah tentu memberikan satu kelebihan kepada Yasmin untuk meyakinkan penonton bahawa filem ini mesti ditonton.
Persahabatan, kasih sayang dan kekeluargaan biasanya menjadi tema untuk pembikinan sesebuah filem yang bergenrekan drama/berat. Inilah yang cuba diketengahkan oleh Yasmin di dalam filem terbarunya ini. Selepas kejayaan Sepet dan Gubra memenangi anugerah filem terbaik di Festival Filem Malaysia sudah tentu filem arahan Yasmin Ahmad seterusnya akan dijadikan satu perbandingan adakah ianya bagus seperti filem-filemnya yang terdahulu. Tiga elemen yang dinyatakan tadi sebenarnya memberikan satu ikatan yang cukup kuat di antara satu sama lain bagi menterjemahkannya apa yang ingin disampaikan oleh Yasmin kepada penonton.
Filem ini dimulakan dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim yang ditulis oleh Orked di dalam buku latihan sekolahnya. Orked adalah sebilangan kecil kanak-kanak melayu yang bersekolah di sekolah aliran cina dan mula menghadapi musim cuti sekolah yang panjang. Selepas pulang dari sekolah Orked melihat ibu bapanya iaitu Pak Atan dan Mak Inom sedang bersiap sedia untuk berlatih bermain muzik keroncong. Orang gaji keluarga Orked iaitu Kak Yam bertindak sebagai penyanyi dan dia menyanyikan lagu ciptaan Pak Atan iaitu Hujan. Orkid dan ibunya itu begitu asyik melayan lagu tersebut sambit menari di dalam hujan. Sedang asyik berjoget, Orked terperasan ada seorang kanak-kanak lelaki sedangn melihatnya dari dalam sebuah kereta dan dia berasa agak malu.
Orked agak berbeza dengan rakan-rakan perempuannya yang lain. Dia tidak gemar bermain dengan rakan perempuan seperti main kahwin-kahwin malahan Orked lebih minat untuk bermain dengan rakan-rakan lelaki seperti permainan galah panjang. Ketika sedang memerhatikan sekumpulan kanak-kanak lelaki bermain galah panjang, salah seorang daripada mereka telah tercedera dan mereka kekurangan seorang ahli pasukan. Salah seorang kanak-kanak itu mencadangkan agar Orked bermain sama tetapi tidak dibangkang oleh Mukhsin yang mengatakan perempuan tidak boleh bermain bersama lelaki lalu membalingkan sebiji bola kepada Orked. Orked hanya berdiam diri tetapi bola tersebut dibalingkan semula ke arah Mukhsin. Dari sinilah bermula persahabatan yang akrab di antara Orked dan Mukhsin.
Mukhsin yang datang bercuti di situ sebenarnya adalah mangsa penceraian ibu bapanya. Di situ dia dijaga oleh Kak Senah dan juga abangnya Hussin. Hussin yang kecewa dengan penceraian ibu bapanya itu sering cuba menghubungi ibunya tetapi gagal. Ini menyebabkan Hussin menjadi seorang pemabuk dan sering berpoya-poya di bandar. Mukhsin pula sering merindukan belaian kasih sayang dari ibu bapa. Semenjak dia berkawan dengan Orked, kerinduan itu sedikit sebanyak terubat juga dan mereka berdua sering bersama sama ada semasa bermain ataupun ketika menonton perlawanan bola sepak sambil ditemani oleh ibu bapa Orked.
Tatkala hubungan mereka berjalan dengan baik berlaku satu masalah yang merenggangkan hubungan mereka berdua. Mukhsin memarahi Orked ketika bermain galah panjang dan tindakannya itu menyebabkan Orked merajuk dan tidak lagi mahu berjumpa dengan Mukhsin. Mukhsin yang merasa sunyi dengan ketiadaan Orked mula rasa bersalah dengan tindakannya itu. Lalu pelbagai cara digunakan untuk memujuk Orked termasuklah membuatkan layang-layang yang dituliskan perasaan salahnya terhadap Orked. Sehinggalah cuti sekolah berakhir, Orked masih lagi tidak mahu berjumpa dengan Mukhsin. Ketika saat Mukhsin mahu pulang ke tempat asalnya dia sempat berkata pada Orked mengenai kata-kata yang tertulis di layang-layang itu. Lantas Orked mencari layang-layang itu dan setelah dibacanya terus dia berlari ke rumah Mukhsin tetapi Mukhsin telah pun meninggalkan kampung dan juga Orked.
Secara peribadi aku berpendapat filem ini begitu dekat dengan penonton. Kenapa aku berkata demikian, ianya memaparkan realiti kehidupan manusia dan setiap plot yang terhasil membuatkan kita rasa tersentuh. Walaupun sebelum ini ada kata-kata sumbang yang mengatakan filem Mukhsin ini seolah-olah mengajar kanak-kanak bercinta. Nasihat aku tonton dahulu filem ini baru boleh mengatakan sesuatu. Bagi aku apa yang ingin ditonjolkan oleh Yasmin dalam filem ini bukanlah cinta sebenarnya tetapi lebih kepada persahabatan di antara dua kanak-kanak yang mempunyai latar kehidupan yang berbeza. Orked yang mempunyai kehidupan yang cukup bahagia dan ini berbeza dengan Mukhsin yang menjadi mangsa penceraian. Mukhsin inginkan sebuah keluarga yang bahagia dan secara tidak langsung kebahagiaan itu dapat dirasai apabila keluarga Orked menerima baik kehadiran Mukhsin. Adakah itu satu kisah yang menggalakkan kanak-kanak bercinta? Tidak sama sekali.
Begitu juga ada yang mengatakan yang filem Mukhsin ini mendekatkan kanak-kanak kepada perbuatan zina. Kenapalah begitu sempit pemikiran orang yang membuat andaian sebegitu. Bukannya aku hendak membela Yasmin tetapi kita kena lihat secara keseluruhan filem itu sendiri. Kalau dia orang mengatakan sedemikian, bagaimana pula dengan filem-filem melayu sebelum ini yang terang-terang menunjukkan aksi ghairah dengan perempuan berpakaian seksi dan lelaki yang tidak berbaju. Kenapa isu itu tidak digembar-gemburkan. Adakah kerana yang melakonkan itu seorang pelakon terkenal dan pengarahnya telah menghasilkan beberapa filem box office. Bagi aku pernyataan itu sungguh hipokrit dan tidak masuk akal.
Tidak dinafikan filem-filem Yasmin Ahmad tidak pernah lari dari kontroversi malahan Sepet dan Gubra pernah diperdebatkan dalam rancangan Fenomena Seni terbitan RTM. Ingin aku tanya, berapa ramaikah pengarah-pengarah filem di Malaysia ini yang sanggup mengarah filem-filem yang bertemakan berat/drama kecuali nama-nama seperti U-Wei Haji Saari, Adman Salleh, Shuhaimi Baba dan lain-lain termasuklah pengarah filem bebas seperti Amir Muhammad (The Big Durian), Osman Ali (Malaikat Di Jendela), James Lee (The Beautiful Washing Machine) dan sebagainya. Setiap kali filem bertemakan berat dihasilkan pasti ada pihak yang tidak puas hati. Sekiranya semua filem dihasilkan hanya berdasarkan nilai komersil, ke mana hilangnya seni filem itu sendiri.
Berbalik kepada filem Mukhsin, secara keseluruhannya filem ini baik dan tersusun jalan ceritanya. Bagi mereka yang pernah menonton Sepet atau Gubra tentu dapat merasakan yang filem ini sedikit ringan berbanding kedua-dua filem sebelum ini. Berbeza dengan Sepet yang memaparkan kisah cinta berlainan bangsa dan Gubra yang mengisahkan konflik keluarga, Mukhsin dilihat lebih emosi dengan paparan nilai persahabatan dan kasih sayang. Aku pasti penonton tentu tersentuh hati apabila melihat Mukhsin dan abang Hussin berpelukan apabila mengetahui ibu mereka meninggal dunia. Begitu juga apabila melihat Orked duduk termenung di pintu rumah Mukhsin. Dari segi sinematografinya adalah sederhana tetapi hasilnya cukup memuaskan hati dan kelihatan asli. Jelas kebijaksanaan jurukamera memainkankan peranannya dalam mewujudkan satu hubungan di antara sinematografi dengan jalan cerita itu sendiri.
Walaupun filem Mukhsin ini bukanlah hasil terbaik Yasmin (aku memilih Gubra sebagai filem terbaik) pada pandangan aku tetapi ianya tetap mempunyai nilai seni yang tinggi. Jikalau ditanya adakah filem ini patut ditonton jawapan aku muktamad ialah ya. Mungkin ramai yang tidak berminat dengan filem bergenre sebegini tetapi sekurang-kurangnya Yasmin telah mengangkat martabat industri perfileman negara di luar dengan kejayaannya di Berlin baru-baru ini. Di pengakhiran cerita ditunjukkan watak Pak Atan bermain organ dan Mak Inom yang sebenar menyanyikan lagu Hujan sambil Yasmin dan adiknya Orked berpelukan kegembiraan. Lagu Hujan ini sebenarnya ditulis sendiri oleh Pak Atan dan rentaknya sedikit berbeza dengan apa yang dinyanyikan oleh Adibah Nor dalam bentuk keroncong. Bagaimanapun lagu Hujan yang berlainan rentak itu sememangnya mengasyikkan.
Kata-kata akhir aku dalam ulasan filem Mukhsin ini ialah jangan berkata sesuatu sebelum menonton filem ini. Jangan mencetuskan kontroversi murahan sebelum menilai sesuatu yang ingin disampaikan oleh pengarah dan lihat sesebuah filem itu dari konteks seninya itu sendiri.
Rating: A-

(ulasan oleh Saudara Mahfiz dari SFC)

No comments: