
Filem arahan pengarah idola aku ini iaitu Martin Scorsese ini dilakonkan oleh Leonardo DiCaprio (sebagai Billy Costigan), Matt Damon (sebagai Colin Sullivan), Jack Nicholson (sebagai Francis ‘Frank’ Costello), Mark Wahlberg (sebagai Dignam), Martin Sheen (sebagai Oliver Queenan), Vera Farmiga (sebagai Madolyn), Ray Winstone (sebagai French), Alex Baldwin (sebagai Ellerby), Anthony Anderson (sebagai Brown) dan lain-lain. Filem ini dimulakan dengan Francis ‘Frank’ Costello yang sedang minum disebuah bar di Boston. Di dalam bar itu dia berjumpa dengan seorang kanak-kanak bernama Colin Sullivan. Costello yang mengenali keluarga Sullivan itu memberikannya wang dan beberapa makanan serta komik kepadanya. Apabila dewasa Sullivan menjadi seorang polis dan baru sahaja menamatkan pengajiannya di Akademi Polis. Setelah tamat dia dinaikkan pangkat dan ditempatkan di Massachusetts State Police di bawah pengawasan Kapten Oliver Queenan dan Sarjan Dignam. Dalam satu plot lain Billy Costigan yang baru tamat pengajian di Akademi Polis yang sama melaporkan diri kepada Kapten Oliver Queenan dan Sarjan Dignam. Atas dasar tidak puas hati terhadap Costigan, mereka bertiga berperang mulut dan akhirnya Costigan diarahkan untuk menyamar sebagai seorang samseng dan bercampur dengan penjenayah yang paling dikehendaki iaitu Costello. Hubungan Costello dengan Sullivan sememangnya sudah terjalin sekian lama malahan Sullivan telah menganggap Costello seperti ayahnya sendiri. Masalah mula timbul apabila Sullivan dinaikkan pangkat dan ditempatkan di Unit Siasatan Khas (Special Investigation Unit) di mana tugasannya ialah menangkap Costello yang telah banyak melakukan jenayah. Salah satu jenayah besarnya ialah menjual satu perisian komputer kepada Kerajaan China di mana perisian itu mampu menembusi sistem keselamatan US. Untuk menyelesaikan masalah ini Sullivan dan ketua barunya iaitu Kapten Ellerby, mereka merancang beberapa strategi bagi menangkap Costello tetapi di dalam hal ini Sullivan bijak bermain wayang bagi memastikan yang Costello tidak ditangkap. Costigan yang diminta menyamar sebagai samseng telah membuat kacau di sebuar bar milik Costello. Semasa Costigan memukul seorang pelanggan, orang kanan Costello iaitu French datang untuk berjumpa dengan Costigan dan dia meneritakan mengenai dirinya. Beberapa hari kemudian Costello telah datang ke barnya itu dan berjumpa dengan Costigan. Sebelum dia diterima, Costello telah memukul tangan Costigan untuk memastikan yang dia bersikap jujur dan tidak berbohong. Semenjak dari itu Costello menjadikan Costigan sebagai ‘anak’nya. Setelah beberapa lama, misi menangkap Costello masih gagal dan pihak polis mensyaki ada tali barut di dalam pasukannya dan dalam masa yang sama Costello mensyaki ada ahli kumpulannya itu yang berhubung dengan polis. Jadi Costello telah berhubung dengan Sullivan untuk memastikan siapa tali barut dalam kumpulannya itu. Sullivan pula bagi menutup rahsia hubungannya dengan Costello telah mengarahkan satu misi menyiasat bekas ketuanya iaitu Kapten Queenan yang disyakinya sebagai tali barut dalam pasukannya itu. Akhirnya Kapten Queenan mati dibunuh oleh ahli kumpulan Costello. Bagaimana kisah seterusnya? Adakah Costello berjaya ditangkap? Adakah rahsia perhubungan Sullivan dan Costello akan terbongkar? Bagaimana dengan Costigan yang menjadi ahli kumpulan Costello? Pastikan filem ini ditonton oleh anda semua. Pertama sekali yang ingin aku katakan di sini ialah filem ni memang best giler, 2 jam 30 minit yang sama sekali tidak membosankan. Kalau ada pun mungkin pada bahagian akhirnya (seperti yang dikatakan oleh MeTaL dan azharfcsum). Ada benarnya apa yang MeTaL katakan tu. Ini kerana pada akhir filem ini ianya adalah sesuatu yang kita takkan jangkakan langsung dan kenapa perlu ada ending yang sedemikian. Seolah-olah filem ini kelihatan tergantung dan membuatkan penonton akan terfikir. Aku sebenarnya ada pandangan yang tersendiri tetapi korang kena tengok filem ni dululah. Takkan aku nak ceritakan pulak. The Departed ini sebenarnya adalah diadaptasi dari filem Hong Kong yang berjudul Infernal Affairs. Apa yang menariknya penulis lakon layar untuk filem ini iaitu William Monahan mengambil langkah untuk tidak menonton filem ini sebaliknya hanya berpandukan pada skrip asal yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Pendekatan ini dibuat bagi memastikan yang dia tidak terpengaruh dengan jalan cerita tersebut. Tapi apa yang jelas filem ini bukannya filem remake tetapi plot filem ini dijadikan inspirasi sebagai jalan filem The Departed itu sendiri. Malahan adik aku yang pernah menonton Infernal Affairs sendiri mengatakan yang tidak banyak sebenarnya adegan dalam Infernal Affairs itu digunakan dalam The Departed malahan terdapat beberapa karekter asal dihilangkan. Seperti yang dikatakan oleh rakan-rakan dalam forum ni, filem ini banyak menggunakan perkataan lucah dan sedikit sebanyak ianya mencacatkan jalan cerita ini. Tapi itu bukanlah sesuatu yang menghairan kerana filem-filem yang genre seperti ini sememangnya banyak perkataan lucah digunakan terutamanya apabila menunjukkan ekspresi marah. Mungkin ianya nampak berkesan untuk menampakkan ekspresi marah itu tetapi sudah tentu ianya tidak sesuai dengan cara kita orang Malaysia. Martin Scorsese sememang cukup dikenali sebagai seorang pengarah yang kejam, zalim, tidak berperikemanusiaan dan kuat elemen ‘Itali-Amerika’nya. Bukan sifatnya yang sebegitu tetapi jika dirujuk kepada setiap filem arahannya, emelen sedemikian sememangnya ada (kecuali beberapa filem lain seperti The Aviator, The Color of Money, The Last Temptation of Christ dan lain-lain). Jadi, untuk filem yang genre jenayah sememangnya Scorsese adalah pengarah yang paling sesuai. Mengenai lakonan tiga watak utama iaitu Leonardo DiCaprio, Matt Damon dan Jack Nicholson sememangnya superb. Nampak peningkatan terhadap lakonan DiCaprio dan Damon jikalau hendak dibandingkan dengan filem-filem mereka beberapa tahun dulu (rujuk filem Titanic dan The Rainmaker). Lakonan Nicholson (pemenang Academy Awards sebanyak tiga kali bagi kategori pelakon lelaki terbaik untuk filem One Flew Over the Cuckoo's Nest dan As Good As Its Gets serta kategori pelakon pembantu lelaki terbaik bagi filem Terms of Endearment) sememangnya tidak boleh dipertikaikan. Kalau mengikut perancangan awal, Scorsese menawarkan watak Costello dan Kapten Queenan itu kepada Robert De Niro (pemenang Academy Awards sebanyak dua kali bagi kategori pelakon lelaki terbaik untuk filem Raging Bull serta kategori pelakon pembantu lelaki terbaik bagi filem The Godfather Part 2) tetapi terpaksa ditolak kerana De Niro sibuk dengan filem arahan terbarunya iaitu The Good Shepherd. Walaupun lakonan Nicholson sememangnya baik untuk filem ini tetapi aku lebih suka seandainya watak seseorang yang kejam dan zalim itu dilakonkan oleh De Niro (rujuk filem Casino). Bukanlah aku tak suka ngan Nicholson (salah seorang pelakon idola aku selain De Niro dan Dustin Hoffman) tetapi aku lebih tertarik bila Nicholson berlakon sebagai seorang tua yang romantis (rujuk filem Something Gotta Give). Jadi, gabungan tiga pelakon ini sememangnya memberikan impak yang cukup kuat dan berkesan terhadap jalan filem itu sendiri. Dari segi jalan ceritanya pula, Scorsese bijak memainkan peranan memisahkan plot watak yang dilakonkan oleh Dicaprio, Damon dan Nicholson. Dengan cara ini penonton tidak akan terkeliru dengan setiap plot yang dilakonkan. Cuma aku rasa agak terkilan gandingan Damon dan Nicholson hanya pada tiga plot sahaja. Ini tidaklah menghairankan kerana Damon dan Nicholson banyak berinteraksi melalui telefon sahaja dan situasi ini sudah tentulah berbeza dengan DiCaprio. Apa yang ketara ialah jalan ceritanya sentiasa bergelut dengan ketegangan dan pertanyaan kerana apa yang berlaku selepasnya adalah sesuatu yang tidak dijangkakan malahan kejutan yang akan timbul. Inilah yang selalu digunakan oleh Scorsese di dalam filem arahannya. Tetapi pada bahagian akhirnya, sesuatu yang tidak dijangkakan langsung akan berlaku. Seperti yang aku katakan tadi ianya kelihatan tergantung dan membuatkan penonton berfikir tetapi apa yang aku rasakan sememangnya Scorsese sengaja mahu penonton berfikir mengenai penamat filemnya itu. Lagu-lagu tema dalam filem ini juga sememangnya sesuai dengan jalan ceritanya. Antara lagu-lagu yang dijadikan sebagai muzik latar ialah Comfortably Numb (Roger Waters & Van Morisson), Sail On Sailor (The Beach Boys), Let It Loose (Rolling Stones), One Way Out (The Allman Brothers Band), Sweet Dreams (Roy Buchanan) dan lain-lain. Untuk muzik scorenya, Scorsese menggunakan khidmat Howard Shore (pemenang Academy Awards bagi kategori Skor original untuk filem The Lord of the Rings: The Return of the King) dan ini bukanlah kali pertama mereka bekerjasama. Sebelum ini mereka berdua pernah bekerjasama untuk filem The Aviator. Jadi Shore tahu apa yang dikehendaki oleh Scorsese dan ini yang membuatkan skor muziknya selari dengan jalan filem itu sendiri. Secara keseluruhannya filem ini layak untuk diangkat sebagai sebuah filem yang terbaik tetapi pada pandangan aku ini bukanlah filem terbaik arahan Scorsese (pilihan aku ialah filem Raging Bull). Agak mengecewakan sekiranya filem ini tidak tercalon di dalam Anugerah Akademi 2007 yang dijangkakan akan berlangsung pada 25 Februari 2007 nanti. Adakah filem ini akan mengalami nasib yang sama seperti filem Gangs Of New York (tercalon untuk 10 kategori tetapi pulang dengan tangan kosong), harap-harapnya tidak tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil untuk filem ini diangkat sebagai filem terbaik. Jika sebelum ini aku katakan yang World Trade Center adalah filem terbaik yang pernah aku tonton pada 2006, selepas menonton filem ini nampaknya aku terpaksa mengubahkannya kepada filem ini. Walaubagaimana pun aku menjangkakan yang kedua-dua filem ini akan bersaing pada Academy Awards tahun hadapan. Untuk kawan-kawan semua, tiada ayat lain yang boleh aku katakan selain daripada “FILEM INI WAJIB DITONTON”. Rating: A+ Selamat menonton…
(Ulasan oleh Saudara Mahfiz aka BUTAKS@selangorfc.com)
(Ulasan oleh Saudara Mahfiz aka BUTAKS@selangorfc.com)
No comments:
Post a Comment